Tuesday, December 29, 2009

Siri 1 - Taufiq (bab 2)

Petang itu sangat damai. Suasana kampung yang sangat tenang. Di satu sudut sebuah rumah, terdengar tangisan yang memecah sepi petang itu. Seorang bayi yang istimewa telah dilahirkan ke dunia. Si bapa tersenyum keriangan, si ibu menangis kegembiraan. Siapa tidak gembira melihat zuriat mereka lahir dengan sihatnya? Kegembiraan dalam keluarga itu mencetuskan kegembiraan ke seluruh kampung. Istimewanya bayi itu kepada kampung sehinggakan memberi keceriaan ke seluruhnya.

Taufiq, nama ini diberi kepada bayi itu. Genap sebulan kelahiran Taufiq, terjadinya satu peristiwa aneh kepada Pak Mail sekeluarga. Taufiq sering menangis, tidak bersebab. Di suapnya susu, namun masih tidak berhenti mengalirkan air mata diiringi suara nyaring yang membingitkan telinga. Bingung Pak Mail dan isterinya Maimun memikirkan sebab dan cara penyelesaian masalah itu. Keresahan tergambar di wajah mereka berdua. Dibawanya Taufiq ke rumah ketua kampung. "Cuba kau bawa dia jumpa Pak Imam, Mail. Mana tahu Pak Imam boleh bantu." Haji Hassan, ketua Kampung Sentosa memberi cadangan kepada Pak Mail.

Satu malam hening selepas selesai solat Isya', Pak Mail membawa Taufiq ke rumah imam kampung. Setibanya Pak Mail ke rumah Pak Imam bersama Maimun dan Taufiq, segera Pak Imam menarik sekeluarga itu masuk ke dalam. "Aku tak pernah ke rumah kau Mail. Kalau aku pergi, dari awal lagi aku tahu sebab budak ini tak henti-henti menangis." kata Pak Imam. "Kenapa ni Haji?" Pak Mail kehairanan. "Kau tak rasa apa-apa sepanjang perjalanan kau ke sini?" Pak Imam dengan keadaan gelisah mengintai ke luar tingkap. "Anak kau ni Mail, dah terbuka mata hati. Dia boleh nampak makhluk-makhluk halus. Sebab itu dia menangis. Benda-benda itu selalu ganggu dia sampai ke sini mereka ikut.". Pak Mail terkejut dengan kata-kata Pak Imam. "Mereka? Begitu banyak? " bisik Pak Mail dalam hati.

Pak Mail tidak senang duduk setelah mendengar kata-kata Pak Imam lalu meminta bantuan dari Pak Imam. "Apa perlu saya buat ni Haji?" tanya Pak Mail. "Tak ada cara lain. Memandangkan aku sekarang tinggal seorang, kau boleh tinggalkan budak ni di sini dibawah jagaan aku. Kau datang lawat budak ni selalu, tapi bukan lepas waktu tengah malam." kata Pak Imam. Dengan terpaksa, Pak Mail dan Maimun terpaksa meninggalkan Taufiq dibawah jagaan Pak Imam demi keselamatan anak mereka.

Pak Imam melindungi Taufiq kerana yakin bila sudah besar, dia dapat membantu penduduk Kampung Sentosa yang terkenal dengan penghuninya dari alam lain. Pelbagai kejadian aneh sering terjadi kepada penduduk kampung. Pak Imam bertekad untuk mendidik Taufiq degan segala ilmu yang dimilikinya. Taufiq membesar dibawah jagaan Pak Imam. Sejak daripada itu, Taufiq tidak lagi menangis seperti seawal ketibaannya di rumah Pak Imam. Bersyukur keluarga Pak Mail melihat anak lelakinya membesar dengan selamat.


bersambung....

Thursday, December 17, 2009

siri 5-permulaan anugerah

Aku berwudhuk di surau semasa dalam perjalanan pulang ke asrama. Lebih berkat tidurku dalam wudhuk yang suci. Lebih aku dilindungi-Nya dari segala gangguan. Setelah selesai rutin aku membaca doa dan ayat-ayat suci sebelum tidur, badan aku rebahkan ke atas tilam. Jauh anganku terbang kembali ke kampung halaman. Sedang asyik aku teringatkan kampung, tiba-tiba suasana berubah. Aku berada di padang sekolah. "Kenapa aku ada di sini?" aku tertanya-tanya. "Ini perjumpaan kita yang panjang Indra." suara yang pernah aku dengar sebelum ini menyapa dari belakang. Aku berpaling dan melihat Taufiq melangkah menghampiri aku. "Taufiq. Akhirnya aku dapat borak panjang dengan kau." sambil senyum aku berkata-kata. Dia membalas senyumanku dan bergerak untuk duduk di tepi padang.

Kami mula berborak berkenalan. Dia mula bercerita kenapa aku di pilihnya. Aku dipilih kerana aku mempunyai dua pelindung dari kalangan yang bertakwa kepada Allah. Aku sendiri tidak mengetahuinya. Terkejut aku. Rupa-rupanya, suara yang aku dengar semasa Shahmi dirasuk adalah dua orang pelindung aku. Ayat yang baru aku terima dari Taufiq rupanya pembuka jalan untuk aku berhubung dengan pelindung ini. Pelindung yang pertama memberi aku seni silat itu. Pelindung yang kedua memberi kekuatan fizikal dan rohani. Gabungan mereka berdua memberi aku krateria terbaik untuk mengekang makhluk-makhluk yang sering mengganggu pelajar di sekolah ini. Padanlah aku dipilih Taufiq untuk menjalankan tugas ini. Kekuatan rohani yang aku peroleh adalah untuk mengelak daripada ketakutan kepada makhluk halus. Sebab itulah walaupun takut, aku mampu menghadapi keadaan itu.

Sekarang aku sudah mengerti kenapa aku di pilih. Tapi siapa Taufiq? "Taufiq, kau ialah seorang pelajar di sekolah ini suatu ketika dahulu. Itu sahaja yang kau beri tahu kepada aku." kataku kepada Taufiq. "Aku ingin kenal kau lebih dalam. Bagaimana kau boleh tahu tentang pelindung-pelindung aku, bagaimana kau mampu berhubung dengan aku walupun jasad kau sudah tiada di sini?". "Semua itu aku ingin tahu." aku terus bercakap hingga berkerut dahi Taufiq pening dengan gelagat aku. Taufiq ketawa. "Baiklah aku akan ceritakan kepada kau.". Taufiq mula bercerita dan aku mendengar dengan tekun. Setelah beberapa jam bersama, barulah aku mengerti siapa Taufiq sebenarnya. Belum sempat aku terus bertanya kepada Taufiq, bayangan Taufiq dan padang sekolah hilang tiba-tiba. Aku membuka mata dan melihat warden sedang memegang bahu aku dan mengejutkan aku untuk solat Subuh. "Ya Allah. Mimpi rupanya aku ni.". Tapi aku tahu bahawa apa yang diceritakan Taufiq dalam mimpi itu adalah benar belaka.

Aku segera membuka langkah menuju ke bilik air untuk mandi dan bersiap untuk ke surau menunaikan solat Subuh. Sepanjang hari aku terfikir tentang Taufiq dan kisah hidupnya. "Begitu rupanya Taufiq. Aku sudah tahu segalanya. Aku cuba untuk menjaga kepercayaan kau kepada aku." bisik hatiku sambil tersenyum sendirian. "Taufiq...".


Bab 1 -TAMAT-


nantikan kedatangan BAB 2- TAUFIQ

Wednesday, December 16, 2009

siri 4- permulaan anugerah

Malam yang dinantikan telah hadir. Aku bersama rakan-rakan bersiap untuk ke surau menunaikan solat Maghrib berjemaah. Sedang khusyuk berwuduk, azan berkumandang. Kami segera mencepatkan langkah untuk masuk ke surau. Selesai sudah solat Maghrib, kami membaca Al-Quran bersama-sama sementara menunggu masuknya waktu solat Isya'. Selepas selesai mengaji, Shahmi dan Ariff keluar untuk rehat di luar surau. Aku cuma memerhati mereka dari dalam. Shahmi melangkah jauh dari surau. Ke bawah pokok besar yang tersedia bangku untuk duduk di situ. Aku hanya tersenyum memerhati gelagat Shahmi yang bergurau dari jauh dengan Ariff. Aku kembali menumpukan perhatian kepada Al-Quran yang masih belum disimpan di tempatnya. Kembali membaca dua muka surat lagi.

Aku bangun untuk simpan Al-Quran di rak. Sempat aku memerhati Shahmi di bawah pokok kerana risau dengan amaran yang Taufiq beri petang tadi. Aku berpaling untuk melihat langkahku ke rak Al-Quran. Tersentak aku kembali mengalihkan pandangan ke arah Shahmi. "Ya Allah! Apa tu?" bisik aku dalam hati selepas terlihat lembaga bagai bayang-bayang berdiri di belakang Shahmi. Belum sempat aku memberi amaran, Shahmi terbaring di atas bangku itu. "Yip!" jerit aku memanggil nama panggilan Ariff yang mengejutkan semua jemaah di surau. "Tolong Shahmi. Kenapa dengan dia tu?" aku menyambung kata-kata sambil berlari keluar bersama beberapa jemaah dari surau. Aku, abang Imran iaitu ketua pelajar dan ustaz Amri, warden bertugas bergegas menuju ke arah Shahmi mengekori Ariff dari belakang.

Belum sempat kami tiba, Shahmi bangun dan melaung. Jeritan itu hampir menggegarkan segala isi dalam sekolah. Amat kuat hingga menyebabkan Arif, ustaz dan ketua pelajar terduduk. Aku tergamam dan menggeletar. Ustaz Amri bangun dan memanggil jemaah dari surau untuk membantu mengekang keliaran Shahmi. "Kena rasuk budak ni." kata ustaz. Terkejut aku melihat keadaan itu kerana buat pertama kali aku menyaksikan orang dirasuk di depan mata sendiri. Sedang ustaz sibuk mencuba untuk menghalau iblis, jin atau apa sahaja yang merasuk Shahmi, suara halus datang menyapa telinga aku. "Lakukannya sekarang Indra, sebelum terlambat.". Terkejut aku mendengar suara itu. Langkah yang kecil dan penuh ketakutan aku buka untuk menghampiri Shahmi. Aku memegang kepalanya lalu mendekatkan mulutku ke telinganya. "Lebih baik kau tinggalkan jasad hamba Allah ini sekiranya kau tak mahu di siksa." entah mengapa aku begitu berani mencabar makhluk yang merasuki Shahmi. "Apa kau boleh buat?" katanya sambil ketawa dengan suara yang menakutkan. Tanpa berlenggah aku membaca ayat pertama yang aku terima dari Taufiq. Menggelepar tubuh Shahmi, namun tidak bersuara. Semua yang ada di situ terkaku sahaja. "Apa kau mahu? Kenapa kau ganggu budak ini?" ustaz bertanya. "Ini tempat aku, rumah aku. Budak ini masuk tanpa keizinan aku." jawabnya. Dengan berani aku berkata dengan perlahan "Ini bukan tempat kau, ini bukan rumah kau. Dunia ini milik Allah. Tempat untuk semua makhluk ciptaan-Nya tinggal. Kau tiada hak untuk menentukan tempat ini milik kau atau tidak.". Makhluk halus ini menjadi berang lalu menolak semua orang yang memegangnya. Dia bebas dari kekangan.

"Sekarang, baca ayat yang aku bagi petang tadi." suara halus tadi kembali menyapa telinga aku. "Taufiq?" hatiku berbisik. Dengan segera aku membaca ayat yang sempat aku hafal sebelum datang ke surau. Seluruh tubuh aku menggigil dan bulu roma berdiri tegak. "Kami datang membantu saudara." satu suara pelik menyapaku. "Pergilah, kami akan membantu dan melindungi saudara." satu lagi suara lain aku terdengar. Aku melangkah menghampiri jasad Shahmi. Secara tidak terkawal, aku membuka langkah silat yang tiba-tiba muncul dalam fikiran aku. Sememangnya aku tidak pernah menuntut ilmu persilatan. Namun langkah-langkah ini muncul secara tiba-tiba. Segala serangan dari makhluk itu aku berjaya elak. Aku berjaya menghentikan pergerakan makhluk itu. Aku sendiri terkejut dengan keupayaan aku. Dengan segera ustaz dan pelajar-pelajar lain datang dan memegang Shahmi yang sudah dirasuk itu. Kali ini lebih ramai membantu. Ustaz segera menjalankan upacara menghalau makhluk halus itu. Lebih setengah jam, makhluk itu meninggalkan tubuh Shahmi. Sempat aku terlihat mata lembaga hitam yang keluar dari tubuh Shahmi. Amat menakutkan. Menggigil aku memerhati mata yang bengis dan penuh kemarahan itu. Shahmi longlai kelesuan. Segera ustaz membawa Shahmi ke hospital.

Pelajar-pelajar menunaikan solat Isya' dan menuju ke kelas untuk kelas persediaan. Kejadian tadi menjadi buah mulut di kelas. Bangunan akademik menjadi hingar dengan cerita itu. Aku cuma terdiam keresahan memikirkan kejadian tadi. "Kenapa aku?" hati yang penuh kegelisahan bertanya berulang-ulang kali dengan harapan mendapat penjelasan. Malam berlalu dengan cepat tanpa aku sedar, masa kelas persediaan sudah tamat. Semua pelajar meninggalkan kelas menuju ke asrama meninggalkan aku dan Ariff di belakang. Ariff tidak henti-henti bertanya bagaimana aku dapat lakukannya? Bagaimana aku berjaya mengekang makhluk yang begitu kuat hingga mampu menolak enam orang yang memegangnya? Aku sendiri tidak mengetahui. Aku sendiri tidak mendapat penjelasan mengapa aku mampu lakukannya. Aku hanya diam melihat muka Ariff. Ariff mengerti maksud pandangan aku lalu memeluk bahu aku dari sisi. "Tenang sahabat. Biar malam ini berlalu." kataya sambil ketawa kecil. Aku hanya tersenyum dan terus melangkah menuju ke asrama. Namun dalam hati masih tertanya-tanya, siapakan mereka yang membantu aku? Suara tadi bukan satu, tapi dua suara yang berbeza. Siapa? Hanya menjadi tanda tanya dalam fikiran aku.

bersambung...

Tuesday, December 15, 2009

siri 3 - permulaan anugerah

Sudah sebulan aku menunggu Taufiq hadir memberi petunjuk. Namun tiada tanda akan kehadirannya. Aku menjalani kehidupan di asrama seperti biasa cuma sering di dampingi angin sejuk yang sentiasa membuat bulu roma aku berdiri tegak. Ingin aku mencari dari mana datangnya angin yang hadir ketika aku berseorangan tidak kira waktu.

"In, jom kita ke padang. Abang Rafiq minta kita wakil rumah sukan kita untuk pertandingan bola sepak antara rumah sukan." Radhi, teman sekelasku bersuara. "Boleh. Tapi aku takut la Di. Tak berani aku nak lawan dengan senior." aku membalas ajakan Radhi. "Jangan risau la, tak ada apa-apa pun. Perlawanan untuk eratkan persahabatan.". Mendengar kata-kata Radhi membuat aku lebih yakin untuk bermain dalam pertandingan itu. Aku dan Radhi bergerak ke padang dengan segera selepas solat Asar.

Setibanya di padang, abang Rafiq, ketua rumah sukan Idris Shah memberi arahan untuk berkumpul. Setelah selesai perbincangan stratrgi, kami memanaskan badan di tepi padang. "Tak pernah aku main posisi pertahanan Di. Macam mana ni?" aku mula gementar. "Tak apa In, aku bantu kau. Kita sama-sama pertahanan." Radhi cuba menaikkan semula semangat aku. Pengadil meniupkan wisel dan bermulalah perlawanan bola sepak antara Idris Shah dan Sulaiman. Bola mula menghampiri gawang kami. Aku cuba bertahan, tetapi terlalu laju pemain penyerang lawan membawa bola menyebabkan kami berlanggar. Pelanggaran kuat itu menyebabkan aku terjatuh. Mata aku terpejam menanti badan menghempas ke tanah namun tidak terasa permukaan tanah di tubuh. Aku membuka mata. "Ya Allah! Dimana aku ni?". Suasana gelap gelita. Aku bagaikan terapung di satu ruang kosong yang tiada penghujung.

Aku mula membaca ayat yang diberi Taufiq sebulan lalu yang sudah aku hafal. "Bertenang Indra. Kau berada di tempat yang selamat." suara Taufiq mengejutkan aku. "Taufiq, di mana aku ni?" gelisah aku bertanya dengan suara yang menggigil. "Jangan risau. Kau selamat di sini. Aku datang untuk mengingatkan kau. Malam ini, kau baca ayat yang aku beri dahulu sebanyak 3 kali di telinga Shahmi dan jika sesuatu yang pelik terjadi, kau baca ayat dalam kertas ini." Taufiq berkata sambil menghulurkan kertas kepada aku. "Satu lagi, kau perlu berniat. Dalam hati kau perlu kuat niat untuk melindungi.". Sedang aku membelek kertas tadi, Taufiq lenyap tanpa aku sadari. Dalam sekelip mata, aku tersedar dari khayalan itu. Aku sedang berdiri tegak di atas padang dan Subri, penyerang pasukan lawan yang berlanggar dengan aku sedang terbaring. "Kau ok Indra?" abang Rafiq bertanya sambil melihat aku dari atas ke bawah. "Saya ok abang. Kenapa?" aku kehairanan. Radhi datang menghampiri aku. "Bagaimana kau boleh berdiri tegak? Kau langgar dia kuat tadi! Eh? kertas apa tu?" Radhi bertanya dengan nada terkejut. Aku terkejut melihat sekeping kertas dalam genggaman aku. Segera aku masukkan ke dalam beg aku di tepi padang. Semua kejadian di padang menjadi tanda tanya dalam minda semua orang yang berada di padang.

Kami seri dalam perlawanan itu. Abang Rafiq memuji barisan pertahanan kerana menahan semua serangan lawan. Namun pujian itu tidak aku ambil kisah kerana kata-kata Taufiq bermain dalam kepala. "Apa yang Taufiq maksudkan?" hati aku berbisik. Hati berdebar tiada terkira memikirkan apa yang akan terjadi malam ini. Bila? Di mana? Aku menanti malam hadir dengan penuh debaran.

bersambung...

Monday, December 14, 2009

siri 2 -permulaan anugerah

Jauh di sudut hati sayu melihat kereta bapa aku berlalu pergi meninggalkan aku. Hampir aku bergenang dengan air mata. Biasalah, belum pernah aku berjauhan dengan keluarga aku di Pahang. Hilang sudah kereta Proton Wira itu dari pandangan aku. Aku melangkah masuk semula ke dalam asrama. Melihat kawan-kawan baru sedang sibuk mengemas almari masing-masing membuat aku sepi tidak berkata-kata. Aku baring di atas katil yang sudah siap bercadar dan cuba menghanyutkan diri ke alam mimpi. Belum sempat aku lelap, angin yang bertiup berubah arah, menghala ke arah aku.

"Anak, takdir sudah menentukan. Anak di bawa ke sini untuk menjadi pelindung." tiba-tiba suara halus bermain di telinga aku. Kepala aku berpaling ke arah suara itu. "Siapa itu?" terpinga-pinga aku mencari namun tiada apa yang aku temui. "Assalamualaikum." suara serak menyapa aku memecah kebuntuan. "Waalaikumsalam.". "Aku Shahmi. Asal Perlis." suara tadi menyambung sapaanya. "Oh, aku Indra. Asal Pahang." aku menjawab sambil menyambut tangan Shahmi untuk bersalam.

Shahmi merupakan kawan aku yang pertama aku kenali di sini. Pada malam itu, kami, pelajar baru perlu berkumpul di dewan selepas solat Maghrib. Aku berjalan bersama Shahmi dan Ariff, seorang lagi rakan baru yang dkenali sebelum solat Maghrib. Setelah tiba di dewan, kami berbaris mengikut dorm dan asrama. Kami bertiga berbaris di belakang kerana agak terpinga-pinga mencari di mana barisan sepatutnya kami berada. Taklimat pun bermula. Aku mendengar dengan tekun untuk memastikan tiada apa kekeliruan sepanjang aku di sekolah ini.

Dalam asyik aku mendengar taklimat, tiba-tiba lampu terpadam. Aku mula resah. Aku memanggil-manggil nama Shahmi dan Ariff. Namun tiada jawapan. Tiba-tiba satu suara menegur aku, "Indra, ambil ini sebagai perlindung kau. Amalkan untuk melindungi sahabat-sahabat kau.". Aku terlihat seorang budak lelaki meghulurkan sehelai kertas kepada aku. "Ya! Kau budak tadi. Yang aku nampak atas katil aku siang tadi." aku berkata kepadanya. Dia cuma menganggukkan kepala lalu melangkah meniggalkan aku. "Tunggu. Kau siapa?" soalku. "Taufiq." jawabnya lalu hilang dari pandangan aku. Keadaan dewan kembali terang. Aku melihat kawan-kawan aku berwajah selamba bagai tiada apa yang berlaku. "Kenapa 'blackout' tadi?" aku bertanya kepada Ariff. "Hah? Bila pula 'blackout' ni Indra?" jawab Ariff.

Aku menjadi semakin gelisah mendengar jawapan Ariff. Aku mendiamkan diri dan tunduk menghadap lantai dewan. Terkejut aku melihat sesuatu dalam genggaman aku. Sehelai kertas. "Eh? Ini kertas yang budak tadi bagi, yang Taufiq bagi pada aku tadi." bisik hatiku. Aku melihat isi kandungan kertas tadi. Tertulis sepotong ayat Al-Quran. Aku semakin pelik dengan peristiwa yang terjadi sepanjang hari ini. "Amalkan ayat ini? Bagaimana?" aku tertanya-tanya. Selesai sudah taklimat kami dibenarkan pulang ke asrama untuk berehat. Aku segera menghempas badan ke atas tilam untuk segera tidur. Aku teringat akan kertas tadi. Aku baca ayat yang tertulis dalam kertas tadi dan menampal kertas itu di dalam almari sebelum aku kembali menghenyak tilam dengan harapan aku mendapat lagi petunjuk tentang cara mengamalkan ayat tadi. Tiga hari berlalu namun Taufiq tidak muncul. Namun masih aku mengamalkan ayat itu sebelum tidur. Seperti biasa orang lain amalkan surah Al-Iqlas, Al-'Alaq dan surah An-Nas serta ayat Qursi sebelum tidur.


bersambung.....

Sunday, December 6, 2009

SIRI 1 - permulaan anugerah

Memang aku tidak menyangka aku akan terpisah dari keluargaku. Aku dihantar ke asrama sebuah sekolah menengah di Perak. Walaupun sedih, aku terpaksa jua menjadi penghuni asrama itu walaupun tidak rela disebabkan aku perlu meneruskan pembelajaran untuk membantu keluarga aku pada masa hadapan.

Setibanya di sekolah itu, aku mula merasai akan suasana yang tidak menyenangkan. Melihat bangunan sekolah yang agak usang membuat aku jadi tidak senang hati. Walaupun pada siang hari, masih terasa suasana yang menyeramkan di situ.

"Sila buat pendaftaran di dewan sekolah ya encik". Suara pengawas yang membantu dalam pendaftaran pelajar baru memecah igauan aku terhadap suasana di sekolah itu. Bapa aku membawa aku ke dalam dewan bersama sijil-sijil yang aku peroleh semasa sekolah rendah dahulu. Segala proses pendaftaran berjalan dengan lancar. "Sila ikut pengawas kami. Mereka akan membawa encik dan anak ke asrama kediaman anak encik." guru yang menguruskan pendaftaran aku bersuara. Aku segera bergerak menuju ke kereta dan seorang pengawas bersama menaiki kereta membawa kami ke asrama.

"Blok H.". "Ini asrama untuk Indra. Sekarang saya akan bawa pak cik dan Indra ke 'dorm' tempat tinggal Indra." pengawas tadi bersuara dengan ramah dan membawa kami menaiki tangga. "Dorm 3." itulah yang tertera di pintu asrama. "Sini dorm Indra, boleh pilih katil sendiri. Silakan.". Aku segera bergerak bersama baldi di tangan. Aku terlihat satu katil yang agak selesa kedudukannya. Tidak terlalu dekat dengan tingkap, tidak terlalu jauh dari pintu. Bapa aku juga setuju dengan pilihan aku. Segara aku meletakkan baldi di atas katil itu sebagai tanda bahawa katil itu sudah dimiliki.

Belum sempat aku meletak baldi di atas katil itu, aku ditiup angin yang amat sejuk. Seolah-olah musim salji melanda di sekeliling aku. Aku bagaikan berkhayal. Pada ketika itu,aku terlihat kelibat ramai pelajar sekolah. Aku terperanjat kerana mereka ada secara tiba-tiba. Bapa aku dan pengawas tadi tiba-tiba hilang dari pandangan aku. Ketika itu, aku melihat seorang budak lelaki sedang duduk dan menangis di atas katil yang telah aku pilih tadi. Wajahnya amat muram dan kelihatan amat sedih. Aku cuba menghampirinya namun apabila aku melangkah, bayangan itu terus menghilang. Bapa aku memegang bahu aku dan bertannya "Kenapa In?". "Oh. Tak ada apa-apa ayah." aku menjawab dengan segera. Aku melatak baldi itu di atas katil dan segera keluar untuk ke kereta untuk mengambil barang-barang yang lain. Sempat aku menoleh memandang ke arah katil tadi. Bayangan budak tadi bermain-main di fikiran aku. "Cepat In. Nanti lambat pula In nak pergi taklimat." bapaku memanggil menyentak aku dari lamunan. "Ok ayah."


bersambung...